Skip to main content

Ulasan Buku – BlogTwit Tour Bersama SUMPAH oleh Shaz Johar


Salam hormat.

Hai semua! 

Kini tibalah giliran saya untuk meneruskan perjalanan BlogTwit Tour bersama SUMPAH karya Shaz Johar. Anjuran UntitledBC dan Buku Fixi

Sudahkan anda bersedia? Jom kita menyelami keunikan SUMPAH.


Tajuk: SUMPAH 
Penulis: Shaz Johar 
Penerbit: Buku Fixi 
Format: Paperback dan e-book 
Sumber: Buku Fixi 
Muka Surat: 292 
Rating: 5/5 stars 


SINOPSIS

Kerana desakan hidup, Lela Palatute yang baru berusia 12 tahun telah dikahwinkan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua oleh ibunya sendiri. Dia kemudian terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dalam sebuah banglo mewah yang diwarisi suaminya, jauh dari kehidupan lamanya sebagai remaja yang masih bersekolah. 

Semasa menerokai banglo itu dan kawasan sekitarnya, dia telah bertemu seorang wanita tua yang mahu membunuhnya serta makhluk misteri di dalam loteng yang sering mengikutnya ke mana-mana. Enggan terus hidup diselubungi misteri, Lela merancang cara untuk kembali kepada kehidupan asalnya dan keluar daripada malapetaka yang sedang berlaku. 
 

ULASAN BUKU

Shaz Johar dan SUMPAH 

Shaz Johar merupakan salah seorang daripada barisan penulis kegemaran saya. Saya mengikuti karya-karya beliau sejak dari tahun 2015. Bacaan pertama dari karya beliau yang mencuri hati saya ialah Kougar, seterusnya Tabu dan Mental. Saya memiliki hampir kesemua buku karya Shaz Johar di bawah penerbitan Buku Fixi. Pada pendapat saya, beliau mempunyai bakat dan kepakaran yang tinggi di dalam bidang penulisan. Saya yakin kebanyakan ulat buku sudah pasti mengenali beliau kerana beliau bukan sekadar seorang penulis berberbakat besar, malahan beliau juga merupakan seorang penyunting dan penterjemah yang bertauliah. Beliau sering mengetengahkan isu-isu semasa, elemen-elemen mistik, identiti, hubungan sesama manusia dan banyak lagi. 

Sedikit latar belakang SUMPAH yang dapat saya petik dari tweet Shaz Johar menerusi akaun twitternya, beliau memaklumkan bahawa SUMPAH merupakan karyanya yang ke-10. Menurut Shaz Johar, watak utama Lela Palatute direka bersempena dengan lagu “Gogol Bordello – Pala Tute”. Drafnya ditulis ketika beliau berada di dalam tren di Romania dengan tajuk asalnya “Hantu Kucing”. Beliau juga menjelaskan tajuk tersebut adalah berdasarkan watak rakan baik Lela iaitu kucing yang diberi nama “Olaf” yang boleh bercakap. Watak kucing putih bermata sebelah hijau dan sebelah biru pula merupakan satu penghormatan Shaz Johar kepada kucing kesayangannya yang bernama Snow White.  

Menurut Shaz Johar lagi, tajuk tersebut ditukarkan kepada SUMPAH kerana ia lebih bersesuaian. Ia mengisahkan tentang sumpahan turun temurun yang menghantui keluarga Lela tanpa diketahui oleh Lela sendiri. Tema penceritaanya adalah berdasarkan isu perkahwinan bawah umur dan mempunyai unsur-unsur mistik. Menurut Shaz Johar lagi, selain dari Lela dan Olaf, ada empat lagi watak penting yang menyokong cerita ini iaitu Paloma (emak Lela), Pak Hadir (suami Lela), Mak Kiah (bidan kampung) dan seekor makhluk hitam dalam loteng yang menggerunkan.  

 

Ulasan SUMPAH 

Secara keseluruhan, Shaz Johar berjaya menyampaikan penceritaannya dengan baik. Unsur-unsur mistik yang menjadi pembuka cerita menarik minat saya untuk meneruskan pembacaan. Plot yang kemas dan teratur membuatkan saya sebagai pembaca menjadi semakin teruja dan tidak sabar untuk mencari tahu apakah yang akan berlaku seterusnya hingga ke penghujung cerita. Walaupun penat menanggung debaran, saya tetap teruskan pembacaan kerana setiap babak di dalam cerita ini sangat menarik. Perlu diingatkan, buku ini hanyalah untuk pembaca matang dan dibaca dengan fikiran yang terbuka.  

Shaz Johar telah mempamerkan keserasian watak antara satu sama lain; peralihan plot yang begitu teratur dan baik alirannya sehinggakan gabungan ini berjaya mempamerkan kewujudan sebuah set yang seakan-akan nyata.    

Lela merupakan watak utama dalam cerita ini. Wataknya agak berat. Watak Lela sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Sebagai seorang remaja yang berumur 12 tahun, sememangnya dia layak untuk menjadi seorang yang tidak boleh membuat keputusan, ragu-ragu, tidak matang dan masih keanak-anakkan. Sepatutnya remaja perempuan seusia Lela masih bermain dengan riang bersama rakan-rakan dan sibuk bersekolah. Tetapi atas desakan hidup, Lela menuruti kehendak ibunya agar dia bernikah dengan Pak Hadir. Setelah dia bernikah dan merasakan dia tidak lagi diberi perhatian oleh ibunya, watak Lela berubah dan berkembang menjadi semakin matang.  

Pada pendapat saya, terdapat beberapa faktor dari sudut pandangan Lela di dalam buku ini yang menyebabkan dia menjadi matang sedangkan di dalam diri Lela seringkali berlaku pergolakan di antara jiwa keanak-anakkan dan jiwa seorang wanita yang matang. Antaranya sebab-sebabnya ialah Lela telah didedahkan dengan kehidupan berumahtangga seawal usia 12 tahun. Dia juga mengharungi kehidupan yang mencabar. Kita tahu, pengalaman hidup yang mencabar mematangkan fikiran. Jadi, watak Lela berubah-ubah momentum kedewasaannya kerana dia telah mengharungi hidupnya berdasarkan pengalaman. Bayangkan, dia yang hidup tanpa rakan-rakan sebaya yang hanya bercakap dengan pokok dan kucing; sentiasa berkawan dengan ibunya sahaja; sudah tentulah akalnya menjadi lebih matang dahulu sebelum usianya. 

Satu lagi watak yang berat pada pandangan saya ialah watak Paloma. Paloma pada asalnya bahagia hidup dengan suami dan anaknya sehinggalah kematian suaminya, hidup Paloma menjadi melarat. Serba salah samada membiarkan anaknya dikahwinkan dengan Pak Hadir yang jauh lebih tua dari dirinya atau terus hidup bersama anaknya dalam keadaan serba daif. Dengan menuruti pujukan Tok Aji, dia kelihatan seperti menjual anak kerana menukarkan anaknya untuk sebuah kehidupan yang lebih baik. Dia seperti melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan bertindak seperti sudah tidak sayangkan anaknya dan mahu bebas dari belengu hidup yang dipikulnya. Kita mungkin berpendapat bahawa Paloma tidak sepatutnya berbuat sedemikian, tetapi di dalam cerita ini, tindakannya adalah disebabkan oleh desakan hidup. Babak sebegini memang sengaja diwujudkan sebagai iktibar kepada masyarakat kerana situasi yang berlaku kepada Paloma, memang benar-benar terjadi dalam dunia hari ini.  

Dalam hal ini, isu yang cuba diketengahkan ialah isu perkahwinan bawah umur yang berlaku dalam dunia hari ini. Disebabkan faktor kemiskinan dan desakan hidup mendorong tindakan Paloma dan Lela untuk pasrah menerima takdir seterusnya. Mungkin kerana tekanan hidup yang dialami Paloma, dia dengan rela hati melepaskan tanggungjawabnya kepada Pak Hadir. Lela pula, sebagai seorang anak, terpaksa akur dengan keputusan Paloma sebagai tanda dia terlalu kasihkan ibunya dan tidak mahu hidup ibunya melarat. Sebagai seorang remaja bawah umur, Lela digambarkan sebagai seorang yang tidak matang pada awal cerita yang hanya menuruti apa sahaja kemahuan ibunya. Pak Hadir yang pedofilia pula seperti pucuk dicita, ulam mendatang. Sejujurnya saya kagum dengan kebolehan Shaz Johar mengolah watak Pak Hadir dan berjaya membuatkan saya rasa jijik kepadanya. Padan muka Pak Hadir. Pucuk dicita, tahi yang mendatang! 

Babak perjalanan hidup Lela selepas berpindah ke rumah suaminya sangat mendebarkan. Dengan kehadiran Mak Kiah yang sering menjadi tanda tanya, serta bunyi-bunyi seram dari atas loteng dan kisah-kisah yang diceritakan oleh Olaf menjadikan situasi menjadi lebih dramatik. Apa tidaknya, siapa yang tak takut ditinggalkan seorang diri di rumah banglo tiga tingkat yang menyeramkan? Bayangkan saja Ju-on yang sedang merangkak dan merayap di atas siling bilik anda pada waktu tengah malam. Diiringi bunyi cakaran pelik dari atas loteng. Sudah tentu tidak senang duduk dibuatnya ketika membaca buku ini. 

Watak-watak sampingan yang lain memainkan peranan yang penting dalam meleraikan persoalan demi persoalan tentang sumpahan tersebut. Saya merasa lega apabila kemuncak penceritaan ini telah menghubungkan Lela dengan kisah silam yang menjadi rahsia di dalam bunglo itu. Sudah semestinya ada rasa sakit hati di atas apa yang berlaku kepada Lela. Kemarahan yang membuak-buak terhadap Pak Hadir kerana menjadi dalang dalam cerita ini. Nasib baik Pak Hadir menerima balasan yang setimpal. Walau apa pun, saya berpuas hati dengan kesudahan cerita ini. 
 

Kesimpulan 

Karya yang luar biasa adalah karya yang mampu menghidupkan suasana penceritaan dengan baik dan berkesan. Cukup saya katakan bahawa SUMPAH adalah sebuah novel yang sangat baik dan luar biasa. 5 bintang untuk SUMPAH dan sekalung tahniah kepada Shaz Johar kerana berjaya menghasilkan karya yang luar biasa. Selamat maju jaya dari saya untuk Shaz Johar.  

 

Kepada anda semua, sekiranya anda ingin mengetahui apakah kesudahan yang berlaku kepada Lela Palatute, dan ingin merasai debaran yang saya alami, dapatkan novel ini segera. Jangan ketinggalan! Saya sudah memiliki koleksi buku fizikal dan ebook SUMPAH. Anda, bila lagi? 



PENGHARGAAN

Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada  @untitledbc dan @bukufixi kerana telah mengatur sesi BlogTwit Tour bersama SUMPAH oleh Shaz Johar. Semoga usaha ini dapat mempertingkatkan lagi minat membaca dan membawa Industri Perbukuan Malaysia ke taraf yang lebih baik.

Untuk mewarnai dunia anda, ikuti ulasan yang dari mereka. Anda boleh rujuk poster berikut untuk bacaan ulasan yang seterusnya.







Comments

Popular posts from this blog

Seni Berfikir Yang Hilang Oleh Hasrizal Abdul Jamil

  Tajuk: Seni Berfikir Yang Hilang Penulis: Hasrizal Abdul Jamil Penerbit: Iman Publication Sdn Bhd Format Buku: Paperback Muka surat: 263 Rating: 5/5 Seni Berfikir Yang Hilang merupakan sebuah hidangan ilmu yang enak, hasil tulisan Hasrizal Abdul Jamil. Beliau memberikan kupasan menarik tentang buku Thaqafah Al-Da'iyah yang ditulis oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi. Ilmu yang dibawa di dalam naskah Thaqafah Al-Da'iyah merupakan ilmu yang membentuk identiti umat Islam sebagai umat dakwah yang berilmu, membudayakan ilmu, bertanggungjawab terhadap kesempurnaan ilmu dalam menyebarkan ilmu dunia dan akhirat dengan baik dan berkesan.  Bukanlah bererti pembacaan buku ini khusus untuk mereka yang ingin menjadi pendakwah, tetapi ia merupakan makanan minda dan rohani untuk diri sendiri supaya dapat membudayakan ilmu dengan memperbetulkan proses menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik berdasarkan Syar'iatullah dan Sunnatullah. Enam cabang ilmu yang dikupas se

The Seven Husband of Evelyn Hugo by Taylor Jenkins Reid

I get hooked up with this book for 2 reasons. It has a very beautiful book cover and an intriguing book title. When I select the book to be in my reading list, I keep on thinking about what could be possible behind every husband she had. One thing I thought about was that this book might be about Evelyn's seven times of marriages in her life. The farther I read, the more the story came out of my surprise and even more than what I imagined. Before anything, I would like to remind that my review might contain spoiler. Might, but just a little bit should be okay, right? The novel tells the story of the fictional Old Hollywood star Evelyn Hugo, who at the age of 79 decides to give a final interview to an unknown journalist, Monique Grant. Although Evelyn Hugo was loosely based in part on actresses Elizabeth Taylor, Reid created Evelyn Hugo to be the glorious star in her storytelling. While reading this book, I googled more about Elizabeth Taylor and learned about her 8 marr