Tajuk: Seni Berfikir Yang Hilang
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Iman Publication Sdn Bhd
Format Buku: Paperback
Muka surat: 263
Rating: 5/5
Seni Berfikir Yang Hilang merupakan sebuah hidangan ilmu yang enak, hasil tulisan Hasrizal Abdul Jamil. Beliau memberikan kupasan menarik tentang buku Thaqafah Al-Da'iyah yang ditulis oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi. Ilmu yang dibawa di dalam naskah Thaqafah Al-Da'iyah merupakan ilmu yang membentuk identiti umat Islam sebagai umat dakwah yang berilmu, membudayakan ilmu, bertanggungjawab terhadap kesempurnaan ilmu dalam menyebarkan ilmu dunia dan akhirat dengan baik dan berkesan.
Bukanlah bererti pembacaan buku ini khusus untuk mereka yang ingin menjadi pendakwah, tetapi ia merupakan makanan minda dan rohani untuk diri sendiri supaya dapat membudayakan ilmu dengan memperbetulkan proses menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik berdasarkan Syar'iatullah dan Sunnatullah. Enam cabang ilmu yang dikupas secara santai oleh penulis iaitu:-
1. Ilmu Agama (Al-Thaqafah Al-Diniyyah)
2. Ilmu Sejarah (Al-Thaqafah Al-Tarikhiyyah)
3. Ilmu Sastera dan Bahasa (Al-Thaqafah Al-Adabiyyah Wa Al-Lughawiyyah)
4. Ilmu Kemanusiaan (Al-Thaqafah Al-Insaniyyah)
5. Ilmu Sains (Al-Thaqafah Al-'Ilmiyyah)
6. Ilmu Hal Ehwal Semasa (Al-Thaqafah Al-Waqi'iyyah)
Ketika saya menyenaraikan kesemua ilmu ini, terasa segar di ingatan saya pengalaman yang saya lalui ketika membaca buku ini. Saya sangat teruja ketika menelusuri bab Ilmu Agama kerana di situ saya pelajari sesuatu yang baharu buat saya - Israiliyyat, riwayat lemah dan palsu.
Ketika mendalami bab Ilmu Agama, saya turut mendampingi naskah Al-Quran Amazing terbitan Karya Bestari demi mendalami maksud dan pengajaran kepada ayat yang cuba disampaikan oleh penulis. Saya telah mengadakan sedikit perbincangan dengan kedua ibu dan ayah tentang Ayat 14 - Surah Al-Kahfi yang dipetik di dalam buku ini. Sebuah perbincangan yang bermakna kerana kami dapat merungkai maksud dan memahami isi dari ayat tersebut. Ibu dan ayah saya merupakan guru yang membimbing saya tentang hal-hal Agama dan Al-Quran semenjak saya kecil.
Pengalaman ini sangat menarik kerana saya berpeluang untuk memahami tuntutan di dalam Ilmu Agama. Seseorang itu wajib menuntut ilmu, bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi untuk sebuah kehidupan. Untuk menikmati kelazatan hidup, kita perlulah menjadi seorang yang berilmu. Kesedaran timbul di dalam diri bahawa seharusnya saya memperbetulkan apa yang telah terbiasa saya amalkan dan mengamalkan apa yang betul berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Ilmu yang saya perolehi hasil dari pembacaan buku ini amat bermakna buat saya.
Pada pendapat saya, kesemua ilmu yang disebut di dalam buku ini kelihatan sangat berat tetapi kupasannya sangat bernas dan berjaya menarik saya ke suatu titik pemikiran yang sentiasa mengembalikan ingatan saya kepada kebesaran Allah SWT. Kesan daripada memahami tuntutan ilmu-ilmu inilah yang menemukan saya kepada kasih sayang Allah. Bayangkan, di manakah permulaan dan penghakhiran ilmu-ilmu ini jika tiada Allah dan tiada keizinan dari Allah untuk kita pelajarinya. Saya merasa kerdil seketika. Betapa sedikitnya ilmu yang saya miliki selama ini.
Apa yang saya gemari tentang buku ini?
Penyampaian ilmu yang lembut. Tidak sekalipun saya merasa diherdik walaupun ada beberapa bahagian daripada penyampaiannya berbentuk serius dan tegas. Penulis mengguna semula teknik yang disebut di dalam buku ini. Menyampaikan ilmu (menerusi tulisannya) dengan cara yang paling lembut dan baik sehinggakan saya tidak rasa jemu untuk membaca dan tidak rasa putus asa untuk mengetahui lebih lanjut tanpa rasa terpaksa. Saya buka Tafsir Al-Quran untuk bahagian yang saya rasa perlu saya fahami lebih.
Penyusunan topik dan aturan perbahasan yang baik. Kerana topik-topik yang dikupas adalah berat, penulis menerangkan perkara asas dengan mendalam. Sebagai pembaca, saya tidak merasa janggal ketika beralih topik kerana asas kepada aliran ilmu yang disampaikan adalah Ilmu Agama yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Saya faham tujuan dan sentiasa luruskan hati untuk tahu apa isi seterusnya.
Contoh-contoh yang bernas. Oleh kerana penulis merupakan seorang ilmuan, maka contoh-contoh yang dikaitkan adalah contoh yang mudah, lojik dan bersangkutan dengan bab yang diperkatakan. Diceritakan tentang kepentingan pengetahuan sejarah dan kesan sejarah sebagai pembentukan kehidupan Muslimin yang lebih baik. Penuturan bahasa yang betul supaya ilmu yang dikongsi dapat difahamkan dengan mudah. Memahami manusia sebagai sistem dan paksi kehidupan. Memahami ilmu sains yang peraturannya datang dari Allah SWT. Seorang muslim perlu tahu tentang keadaan semasa supaya sentiasa berdiri di atas realiti. Saya gemar dengan cerita dan contoh yang mudah dan munasabah yang diberikan oleh penulis. Senang untuk direnungkan.
Sedikit yang saya harapkan sekiranya penulis boleh menambahkan penjelasan kepada setiap ayat Al-Quran yang dimuatkan di dalam buku ini atau pada buku-buku akan datang. Walaupun ia dimuatkan sebagai contoh, tetapi sedikit sebanyak ia dapat memberi kepuasan kepada pembaca sekiranya memahami tujuan ayat itu dipilih dan kupasan kepada ayat itu sampai kepada tujuan asal. Saya berpendapat, sedikit tergantung pada bahagian-bahagian bercontohkan ayat yang mana saya perlu mencari tafsir dan menggabungkan pemahaman saya terhadap maksud ayat dan isi ilmu yang cuba disampaikan oleh penulis. Mungkin kerana saya gemar baca dan renungkan maksud yang cuba disampaikan, saya cuba memahaminya lebih dalam lagi. Tapi ini bukanlah perkara yang besar. Buku ini sudah terlalu baik dan mampu membuatkan saya dahagakan lebih ilmu untuk melatih diri saya bersedia demi kehidupan yang mendatang.
Secara keseluruhan, buku ini sangat baik. Ia meninggalkan satu kesan positif di dalam diri saya. Ia memberi satu cabaran kepada saya. Saya wajib berilmu supaya saya boleh berfikir dengan baik dan menyalurkan buah fikiran saya kepada sesiapa yang memerlukan terutama sekali amanah Allah buat saya iaitu keluarga. Tanpa ilmu, belum tentu saya dapat mengemudi bahtera kehidupan dengan baik demi menuju kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.
Saya mengesyorkan agar buku ini dimiliki oleh setiap keluarga, para pendidik dan sesiapa sahaja yang mahu memperbaiki cara berfikir dan memahami cara untuk mendidik diri dan persekitaran agar menjadi Muslim sejati.
Daripada Abd Allah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” [Riwayat al-Bukhari (3461)]
Jadi, untuk menyampaikan walaupun satu ayat, kita perlulah mencari ilmu dan menjadi seorang yang berilmu.
Comments
Post a Comment