Sebaik sahaja tamat membaca buku ini, perasaan saya bercampur baur sedih dan kosong di dalam jiwa. Timbul rasa hampa dan semahu-mahunya menangisi kehilangan semua peluang baik yang pernah hadir tanpa disedari. Sekuat mana teriakan pada lautan, belum tentu menghilangkan kekesalan yang ada dalam diri bahawa semua peluang terbaik yang pernah datang telah dibiarkan berlalu pergi.
Bersesuaian dengan judul buku ini, RASA – karya Nuril Basri yang telah diterbitkan pada tahun 2019 oleh penerbit BUKU FIXI sarat dengan pelbagai rasa perasaan. Penyusunan jalan ceritanya yang sangat menarik berlatarbelakangkan sebuah pengembaraan seorang wanita yang tercari-cari matlamat kehidupan, pengisian perasaan dan rasa kebahagiaan. Kerana bosan dan tidak mencapai kepuasan diri terhadap kehidupan asalnya dan; kerana desakan usia, beliau nekad mencari haluan hidup yang baharu. Bermula dengan kembaranya di lautan sehingga terbawa haluannya ke Kota London, hidupnya penuh dengan dugaan yang menghimpit perasaan. Tidak kurang juga keseronokkan yang dialaminya bersama orang asing ketika dia sedang mengembara.
Pada pendapat saya, buku ini mudah dibaca, santai dan menghiburkan. Penuh dengan rencah-rencah kehidupan. Penggunaan bahasanya mudah dan jalan ceritanya lancar. Apa yang menarik perhatian saya untuk penceritaannya kali ini, kisah ini banyak menggunakan elemen emosi dan perasaan. Jujur saya akui, saya turut didera perasaan ketika membacanya. Kembali kepada penakrifan tajuk buku – RASA.
Apa yang menarik sebagai pembaca, saya bukan sahaja membaca, malahan turut serta mengembara bersama Maya. Rentak penceritaannya mudah kerana Nuril menggunakan konsep pengembaraan yang bukan sahaja menggerakkan imaginasi saya dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi pengembaraan jiwa seorang Maya. Peranan watak utama yang sangat menyerlah serta watak-watak sokongan yang lain sangat membantu dalam perubahan kehidupan Maya di dalam penceritaan ini.
Maya merupakan watak yang berat. Diciptakan Maya dengan sebuah kehidupan yang penuh keterbatasan. Pelbagai isu realiti kehidupan yang dibawa melalui watak Maya. Antaran kupasan menarik ialah kemiskinan, desakan hidup, hilang keyakinan diri, kekeluargaan, persahabatan dan desakan untuk hidup berpasangan disebabkan oleh rasa kesunyian. Cara penyampaian dan susunan cerita yang sangat lancar dan teliti. Wujud keserasian di antara watak-watak dengan lokasi yang digambarkan. Ini menggambarkan penulis kegemaran saya ini sangat teliti menelaah siri lokasi dan watak yang dibawa berdasarkan realiti sebenar kehidupan; kemudian memfiksyenkan segala realiti itu ke dalam seorang wanita yang bernama Maya. Bukan seperti karya fiksyen biasa yang diulang-ulang manisnya sebuah kehidupan yang jauh menyimpang dari realiti sebenar.
Acap kali saya tertawa sendirian dengan kelucuan jenaka sinis yang ada di dalam cerita ini. Tidak kurang rasa hampa setiap kali kekecewaan datang menerpa hidup Maya. Rasa marah yang tidak terhingga apabila Maya terpaksa berhadapan dengan kelakuan ganas Maroje, kekasih pertamanya. Hati saya berbunga setiap saat Jonathan muncul menyemarakkan rasa bahagia dalam hati seorang Maya. Saya gemar cara Nuril Basri mengolah keserasian jiwa di antara Jonathan dan Maya. Saya juga merasa terhibur setiap kali Maya berada di kalangan teman-temannya.
Saranan saya, jika anda ingin mencari bahan bacaan yang ringan dan sedikit beremosi, pilihlah buku ini dan selamilah perasaan seorang Maya. Nuril Basri tidak pernah menghampakan saya dengan karya-karyanya yang telah saya miliki. Selamat membaca!
Penilaian saya terhadap buku ini ialah 5/5.
Comments
Post a Comment